Monday, July 13, 2009

Ole-ole Sempena Cuti Pertengah Semester.

Tugasan ini adalah 'ole-ole' sempena cuti pertengahan semester. Justeru pelajar mempunyai keluangan masa yang banyak untuk menyiapkannya.

Soalan tugasan individu ini ialah :

Cari satu (1) mana-mana artikel atau laporan berita yang jelas akan maksud dan tertib tulisannya mengenai isu pendidikan, politik atau sosial sama ada dari media elektronik atau media cetak.

Ia mestilah tidak berbau isu sensasi atau emosional, menyentuh sentimen kaum, agama atau penulisan popular yang tidak bertangungjawab.

Pelajar dilarang mengambil bahan dari blog atau laman sesawang yang tidak mencerminkan pemikiran yang boleh dipertanggungjawabkan. Misalnya blog politik yang sarat pandangan peribadi. Pilih bahan dari sumber internet yang rasmi mewakili badan atau kumpulan tertentu yang tidak menyalahi undang-undang negara seperti ABIM, atau sumber berita nasional seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan sebagainya.

Anda juga boleh memetik dari blog tokoh yang dikenali - kerana pengalaman dan kemasyhuran dalam profesionalismenya - seperti blog The Scribe A Kadir Jasin. Blog persendirian yang tidak ada wibawa tidak boleh dipetik.

Seperkara lagi bahan dan tugasan ini hendaklah ditulis dalam bahasa kebangsaan.

Buat cetakan atau salinan foto. Kemudian baca bahan tersebut secara aktif. Senaraikan idea utama dalam bahan itu dan buat satu ringkasan mengenainya. Tugasan ini hendaklah dibawa ke kuliah jam kedua minggu pertama selepas bercuti untuk dibincangkan.

Walaupun masih ada kemahiran tertentu yang belum dipelajari namun kemahiran sedia ada memadai untuk membuat tugasan ini. Kemahiran yang akan digunakan ialah kemahiran berfikir kritis, kemahiran memilih bahan yang sesuai dan kemahiran membuat nota.

Tugasan ini menghendaki pelajar menyediakan satu nota mengenai bahan tersebut. Apa yang anda akan lakukan ialah membuat nota dan bukannya mengambil nota dari sebuah artikel atau laporan berita.

Selamat 'bertugas'!

0 comments:

<<